Social Icons

Pages

Selasa, 24 Januari 2012

Sambutan Tahun Baru Cina dan Perpaduan Kaum Dalam Konteks Politik Malaysia


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Semalam dan hari ini seluruh masyarakat Cina di seluruh di seluruh dunia meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Ia merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan dan tahun ini adalah merupakan tahun Naga atau lebih spesifiknya dipanggil sebagai Naga Air. Bagi kepercayaan kaum Cina, Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau bagi menandakan kemeriahan sambutannya.

Di Malaysia, perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini dianggap sebagai perayaan yang sangat penting kepada banyak pihak kerana ia adalah perayaan yang melibatkan kaum yang kedua teramai.

Perutusan DS Najib berkaitan dengan Tahun Baru Cina, beliau menyatakan bahawa perlunya rakyat Malaysia memperteguh semula tekad bagi mempertahan, mengukuh dan menyuburkan perpaduan nasional yang telah kita bina selama ini secara bertatih berasaskan prinsip toleransi, penerimaan dan seterusnya meraikan kepelbagaian. Beliau mengharapkan agar kebersamaan yang ada di antara rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada perbezaan yang wujud. Semua kita mendambakan masa depan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak kita oleh itu marilah kita berusaha bersama-sama bagi memastikan masa depan yang sarat harapan untuk semua.

Presiden PAS, DS Haji Abdu Hadi Awang pula menyatakan dalam perutusannya menyebut bahawa kegagalan pemerintah negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.

DS Anwar dalam blognya menyebut bahawa tahun Naga melambangkan, antaranya Keadilan, Keberanian dan Berhikmah buat masyarakat Cina. Oleh kerana itu sempena sambutan tahun baru, yang selalu dianggap sebagai satu titik permulaan serta memperkukuh azam, saya berharap kita bersama beriltizam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang adil dan saksama. Perpaduan perlu dijalin demi kemaslahatan negara. Kita berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas dari rasuah dan rakyatnya hidup dalam kerukunan serta harmoni.

Melihat kepada perutusan-perutusan ini, perkara asas dan perkara pokok yang menjadi tunjang kepada persoalan yang penting adalah berkaitan dengan soal perpaduan. Ia tidak dapat dikesampingkan dalam topik perbincangan kita kerana isu perpaduan adalah satu isu yang cukup penting dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Sebab itu, perpaduan dalam pengajian sains politik adalah merupakan satu subjek yang cukup penting kerana ia adalah satu pengajian untuk memastikan dalam pembinaan sebuah negara dan sebuah bangsa yang kukuh dengan menyatukan semua kaum dalam satu kerangka masyarakat yang dapat bekerjasama dan hidup harmoni bersatupadu.

Pentingnya Perpaduan Sesama Kita

Kajian berkaitan dengan perpaduan kaum sebenarnya adalah satu perkara baru dalam kajian sains politik dan J.S.Furnivall adalah merupakan sarjana tersohor dalam kajian ini. Menurut J.S Furnivall sebuah masyarakat majmuk merupakan satu masyarakat yang muncul akibat daripada dasar-dasar kolonial di mana penghijrahan penduduk mengikut kehendak-kehendak sistem ekonomi, politik dan sosial sehingga ia mewujudkan kelompok-kelompok yang berbagai ragam dalam satu unit politik. Furnivall menambah bahawa kelompok-kelompok berbagai ragam dalam sebuah masyarakat majmuk itu “bercampur tetapi tidak bergabung”.  Setiap kelompok memegang kuat kepada agama, kebudayaan, bahasa, idea-idea dan cara-cara kehidupan sendiri. Komuniti-komuniti dalam masyarakat majmuk itu hidup secara berdekatan, tetapi terpisah dalam unit politik yang sama. Sistem pembahagian buruh dalam bidang ekonomi pula adalah berasaskan ras di mana setiap ras dalam masyarakat itu mempunyai fungsi-fungsi yang berlainan.

Jika kita melihat kepada teori falsafah yang disebut oeh Furnivall ini, kita akan mengiakan teori tersebut dalam konteks negara kita pada hari ini. Dega migrasi kaum daripada tanah Besar China dan negara India serta negara-negara lain telah membentuk sebuah negara berbilang kaum dan ia terus kekal sehingga kehari ini.

Persoalannya, adakah benar teori "bercampur dan tidak bergabung" seperti mana yang dinyatakan oleh Furnivall? Jika kita percaya sepenuhnya teori ini maka kita terpaksa mengakui bahawa apapun usaha yag dilakukan oleh pihak kerajaan, NGO dan orang-perseorangan dalam mengabungkan semua kaum dalam satu kerangka kehidupan yang harmoni akan menemui kegagalan. Sebab itulah, kita akan melihat bagaimana percaturan yang dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara dalam menangani isu pertembungan antara kaum akan berlaku sehingga ke peringkat berlakunya tangkapan dan mungkin lebih daripada itu.

Justeru apakah asas yang perlu kita letakkan di dalam minda dan hati masyarakat Malaysia supaya dapat memberikan satu keinginan yang kukuh untuk membina perpaduan di antara satu sama lain. Persoalan ini bukanlah satu perkara yang baru kerana ia sudah cukup lama diperbincangkan di negara kita ini.

Isu pertembungan di antara kaum di Malaysia lebih sesuai jika dilihat daripada sudut politik. Perpaduan di antara kaum akan dipupuk melalui agenda kerajaan yang digarap melalui suasana politik semasa. Peristiwa 16 Mei 1969 yang mengakibatkan pertembungan dan pertumpahan darah adalah pertembungan politik pada ketika itu. Pertembungan di antara kaum Melayu dan Kaum Cina meninggalkan kesan yang mendalam dan menusuk ke hati setiap masyarakat.

Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu dengan terbentuknya satu pakatan politik yang terdiri daripada Umno, Mca dan Mic yang berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Kegagalan Perikatan untuk memperolehi mandat dua pertiga kerusi Parlimen telah menyebabkan parti pembangkang pada ketika itu seperti parti Gerakan, DAP dan PPP memperolehi 25 kerusi Parlimen manakala PAS berjaya memenangi 12 kerusi. Pertembungan penyokong Gerakan dan Umno di sekitar Kuala Lumpur telah mengakibatkan rusuhan kaum dan akhirnya darurat telah diistiharkan pada 16 Mei 1969. Pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah di antara langkah yang dilakukan untuk meredakan pertembungan kaum. Pembentukan Barisan Nasional dengan mengekalkan Umno, Mca dan Mic serta kemasukan parti pembangkang seperti Gerakan dan PPP memperkukuhkan parti pemerintah di Malaysia.

Peristiwa 16 Mei telah memberikan kelebihan politik kepada parti pemerintah kerana selain daripada dapat mengurangkan ketegangan kaum, parti politik pemerintah semakin kukuh dengan penyertaan parti politik yang lain. Namun, ia bukanlah bermakna pertembungan kaum berakhir kerana ia terus berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Wujudnya 1 Malaysia

Pilihanraya umum ke 12 yang berlangsung pada tahun 2008 telah memperlihatkan bagaimana BN mengalami kekalahan di beberapa buah negeri dan hilang majoriti dua pertiga Dewan Rakyat untuk pertama kalinya. Sebelum itu, pelbagai isu ditimbulkan sehingga menyebabkan rakyat semakin muak dengan BN. Isu yang melibatkan kelemahan Pak Lah selaku PM, campurtangan Tun Dr Mahathir dalam pemerintahan negara, isu kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan, isu ekonomi dan banyak lagi isu telah menyebabkan BN ditolak dalam pilihanraya.

Mca dan Gerakan meletakkan kesalahan ini kepada Umno termasuklah isu 'keris' yang digunakan dalam persidangan Pemuda Umno ooeh Hishamudin Hussien. Umno pula meletakkan kesalahan ini kepada Mca dan Gerakan kerana tidak berjaya meyakinkan pengundi Cina untuk terus menyokong BN.

Sesuatu tindakan mesti dilakukan bagi menarik semula sokongan rakyat kepada pemerintah. Maka wujudnya satu agenda baru dalam negara yang disebut sebagai 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' yang merupakan satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan dengan harapan ia akan mengembalikan keyakinan rakyat.

1Malaysia bukan sahaja dipromosikan di dalam media massa atau di lokasi agensi kerajaan malah ia digunakan semasa kempen Pilihan Raya Kecil di Malaysia. Walaupun ia ditentang oleh Pakatan Rakyat namun BN masih tetap menggunakan lambang tersebut untuk mendapatkan sokongan rakyat teramai.

Pemerintah terus menggunakan 1Malaysia dalam pelbagai aktiviti dan pendekatan termasuklah wujudnya Kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia. Semua ini dilakukan untuk membuktikan bahawa pemerintah mahu mewujudkan rasa kesamaan dan pembelaan terhadap kebajikan rakyat.

Sebab itu, tidaklah menghairankan nanti ketika berlakunya PRU yang berkemungkinan berlaku pada masa terdekat ini, 1Malaysia akan menjadi azimat penting BN dalam mengharungi kempen pilihan raya demi untuk mendapatkan semula sokongan rakyat khususnya masyarakat kaum Cina dan India untuk kembali semula ke pangkuan BN.

Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Menjadi Pilihan

Kini rakyat Malaysia mempunyai pilihan sama ada ingin membina sebuah negara yang makmur yang berasaskan perpaduan kaum yang telus dan tulus ataupun perpaduan yang diwujudkan kerana kepentingan politik. BN yang berpegang kepada 1Malaysia yang diilhamkan oleh Presiden Umno cukup kuat didokong oleh Umno tetapi sangat jarang diguna pakai oleh komponen politik yang lain. Ia berbeza dengan PR yang semakin kuat berpadu dengan dibuktikan dalam Konvensyen PR yang diadakan baru-baru ini di Alor Setar Kedah.

Politik menakut-nakutkan yang diamalkan olehBN selama ini sudah tidak relaven lagi. Kaum Melayu, Cina dan India sering ditakut-takutkan bahawa jika BN tidak memerintah maka negara akan huru-hara dan kacau-bilau. Politik seperti ini sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa. Ini kerana rakyat sudah dapat melihat kejayaan kerajaan negeri di bawah PR yang diiktiraf oleh Audit Negara sebagai negeri-negeri yang telus dan tulus dalam pemerintahannya dan ini yang membimbangkan BN.

Harapan yang ada untuk melihat perpaduan yang telus dan tulus adalah dengan memberikan kepercayaan kepada PR pada PRU yang akan datang ini. Ia terletak di tangan anda. Semoga semangat perayaan Tahun Baru Cina ini akan memberikan kekuatan kepada masyarakat Cina khususnya untuk membuat perubahan kepada pemerintah Malaysia pada ketika ini.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
24 Januari 2012

0 ulasan:

Catat Ulasan

Berita Utama Harakah Daily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...