Social Icons

Pages

Selasa, 10 April 2012

Koleksi Kata-Kata Hikmah


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya sering mencatatkan kata-kata semangat, kata-kata hikmah dan seumpamanya dan semuanya itu saya kongsikan bersama teman-teman di dalam alam facebook.

Namun, tidak satupun saya simpan sehinggakan ianya berlalu dengan begitu sahaja. 

Ada teman yang mencadangkan saya menyimpannya di dalam laman blog saya ini.

Mungkin ia akan memberikan manfaat kepada orang lain.

Saya akan mengemaskinikan posting ini dari semasa ke semasa, insya Allah.

Wassalam.

---------------------------------------------

1. Hidup kita terlalu singkat di atas dunia ini. Masa juga berlalu dengan pantas. Rambut yang hitam tiba-tiba bertukar putih, kulit mejadi kendur dan berkedut, mata semakin rabun, ingatan semakin lemah, pergerakan semakin perlahan dan semakin kerap diserang penyakit. Bersiaplah dengan amalan-amalan yang mampu membantu kita di alam abadi..

2. Saat yang paling indah adalah ketika kita mula memahami erti cinta dan kasih sayang. Segala-galanya ingin dicurahkan demi cinta kepada si dia. Bagaimana pula dengan cinta kita kepada Allah, apa yang telah kita curahkan? 

3. Setiap saat yang berlalu sudah tentu berharga namun ia bergantung kepada sejauh mana kita menghargainya. Nilainya tidak dapat dijual beli tetapi jika ia dimanfaatkan maka ia jauh lebih bernilai daripada emas dan permata.

4. Anda tidak perlu bersedih dan berduka apabila kehilangan apa yang telah anda usahakan selama ini kerana sekurang-kurangnya anda masih mempunyai nyawa untuk meneruskan kehidupan. Pasti ada hikmah disebalik apa yang telah berlaku kerana Allah tidak menzalimi hambanya.

5. Hati terlalu penting untuk kita memulakan sesuatu. Tanpa kerelaan hati sukar untuk kita mencapai prestasi kerja yang tinggi, tanpa hati juga sukar untuk kita menjalinkan kasih sayang sesama manusia dan tanpa hati manusia akan mati. Segalanya terletak kepada hati anda!

6. Nilai RM 5 didermakan oleh seseorang sebenarnya berbeza-beza. Seorang jutawan mungkin tidak berasa apa-apa apabila RM5 dihulurkan sebagai derma ikhlasnya berbanding dengan seseorang yang hanya tinggal RM 5 untuk meneruskan kehidupannya.

7. Biasanya, manusia akan mula menghargai sesuatu apabila ia sudah tiada dalam hidupnya. Justeru hargailah apa yang anda ada pada ketika ini dan bersyukurlah dengan segala pemberian Allah kepada anda.

8. Apa yang difikirkan oleh manusia sebelum mereka melelapkan mata pada setiap malam adalah berbeza-beza. Ada yang memikirkan kerjaya, perniagaan, ekonomi dan hal-hal duniawi. Semua itu penting tetapi penting kita fikirkan apakah esok kita akan diberikan oleh Allah peluang untuk hidup lagi ataupun sebaliknya.

9. Jauh atau dekat tidak semestinya diukur dengan sistem tetapi perlu juga diukur dengan kekuatan hati dan iman. Adakalanya destinasi sejauh 100 km itu lebih dekat daripada 100 meter. Jika tidak percaya, kenapa kita sanggup untuk bergerak sejauh 100 km untuk bertemu dengan kawan tapi tak sanggup untuk menunaikan solat 5 waktu di masjid yang jaraknya 100 meter sahaja?

10. ‎Tidaklah disebut sebagai pengorbanan sekiranya sesuatu yang kita lakukan itu masih di dalam tahap kemampuan kita. Pengorbanan itu adalah sesuatu yang dibuat luar daripada kemampuan kita yang sebenar. Justeru adakah kita sebenarnya telah melakukan pengorbanan selama ini?

11. ‎Wahai saudaraku, usahlah kamu gelisah dan keluh kesah bila ada manusia membencimu kerana pasti ada manusia lain yang menyayangimu. Wahai saudaraku, gelisahlah jika kamu dibenci oleh Tuhanmu pasti tiada siapa yang akan menyayangimu dialam akhirat nanti

12. ‎Jika anda bertemu dengan halangan ketika dalam perjalanan anda ke puncak kejayaan, anda mempunyai pilihan sama ada berhenti atau meneruskan perjalanan yang pastinya mencabar kesabaran dan keimanan. Anda masih dikira berjaya walaupun anda terpaksa berhenti tetapi kejayaan itu bukanlah kejayaan yang sempurna seperti mana yang anda idamkan. Berusahalah agar halangan itu akhirnya menjadi pemangkin kepada kejayaan anda

13. ‎Jika anda ingin berjaya, lakukan sesuatu itu daripada keadaan tidak sakit kepada keadaan sakit dan sehingga akhirnya anda menemui keadaan yang tidak sakit-sakit

14. ‎Sesuatu yang anda inginkan sebenarnya mudah diperolehi jika anda berusaha dan berfikiran positif kerana pasti akan ada jalan untuk mencapainya. Tetapi jika anda memulakan sesuatu kerja dengan alasan maka pasti kegagalan yang menanti anda dipenghujung nanti

15. ‎Setiap yang bernyawa pasti akan menemui saat kematian. Tinggalkanlah sesuatu yang bermanfaat agar ia akan membantumu di alam Baqa dan alam akhirat

16. Cuba kita hitungkan berapa kali kita memuji kebesaran Allah pada hari ini. Adakah ia sudah setimpal dengan apa yang telah Allah berikan kepada kita pada hari ini?

17. Dalam kesibukan kita mengejar tuntutan di dunia, jangan kita lalai dan leka dengan bekalan kita di akhirat kerana hidup kita di dunia ini hanya sekali dan pasti tidak akan ada ulangannya bagi kita membetulkan kesilapan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Berita Utama Harakah Daily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...